Wednesday, 21 November 2012


PERKEMBANGAN  DAN  ISU-ISU  SOSIAL KOMUNITI  BERPAGAR

DEFINISI
Pengertian makna komuniti berpagar secara umumnya adalah kelompok masyarakat suatu kawasan yang kediamannya dikawal dan disempadani secara jelas dan mempunyai ciri-ciri kawalan keselamatan. Kawalan keselamatan ini dijalankan oleh pengawal-pengawal keselamatan yang beroperasi 24 jam dan ditempatkan di pondok-pondok pengawal di pintu masuk utama kawasan dan juga beberapa kawasan lain disempadan kawasan perumahan tersebut.

Terdapat tiga kategori komuniti berpagar iaitu:
• Komuniti gaya hidup – terbahagi kepada tiga iaitu komuniti pesara, komuniti golf dan percutian serta pinggiran bandar (country homes).
• Komuniti prestij - komuniti yang paling cepat berkembang dan berprestij ditonjolkan menerusi pembinaan pagar – pagar bagi melindungi keselamatan dan menunjukkan ketinggian status sosial.
• Komuniti selamat - pemagaran kawasan bertujuan semata-mata atas faktor keselamatan terhadap jenayah dan pengurangan laluan trafik.

PERKEMBANGAN KOMUNITI BERPAGAR DI MALAYSIA

Konsep Komuniti berpagar di Malaysia secara amnya masih bersifat sederhana berbanding dengan negara maju. Budaya dan cara hidup ketimuran adalah salah satu faktor yang membezakan dengan konsep komuniti berpagar di negara barat. Penghuni komuniti berpagar di Malaysia masih keluar dan bersosial di luar kawasan perumahan. Penyediaan kemudahan - kemudahan rekreasi dikawasan perumahan tersebut tidaklah semaksima kemudahan- kemudahan yang terdapat di kawasan perumahan dibarat. Sebagai contoh, konsep perumahan komuniti berpagar di Fiddler’s Creek, Florida, Amerika Syarikat, selain menyediakan kemudahan asas seperti kolam renang, gelanggang tenis, taman permainan kanak-kanak, juga menyediakan kemudahan yang lebih komprehensif seperti perpustakaan, kafe komputer, tapak perkemahan, pusat kesihatan, padang golf, tasik, padang ‘softball’, pusat komuniti dan pusat perdagangan.

Ciri –Ciri Komuniti Berpagar
Secara amnya penghuni-penghuni didalam komuniti berpagar di Malaysia terutamanya bagi kawasan perumahan yang berharga sederhana dan tinggi, sama ada berketumpatan tinggi seperti pangsapuri ataupun kondominium dan
perumahan berketumpatan rendah seperti rumah sesebuah, ‘town house’, berkembar dan teres house yang dipanggil dengan istilah ‘clustered house’, menikmati pelbagai kemudahan yang telah disediakan pemaju didalam kawasan perumahan tersebut seperti kolam renang, padang golf, kelab, kedai, sauna, surau, tadika dan sebagainya untuk memenuhi keperluan masyarakat didalamnya.

Perkembangan Komuniti Berpagar
Perkembangan pesat pembangunan perumahan berkonsepkan komuniti berpagar sejak akhir-akhir ini, membuktikan adanya faktor ‘supply and demand’ yang kuat melibatkan pemaju dan masyarakat. Selain itu yang jelas terdapat pelbagai faktor lain yang mendorong dan menjadi pemangkin terhadap perkembangan dan juga meningkatnya permintaan pengguna terhadap perumahan yang berkonsepkan komuniti berpagar. 

Faktor-faktor tersebut diantaranya ialah:

• Pengaruh Gaya Hidup: Gaya hidup kebanyakan penghuni komuniti berpagar yang kebanyakan masa lebih tertumpu kepada kerjaya, menyebabkan keperluan kepada kemudahan – kemudahan dalam konsep komuniti berpagar yang disediakan adalah diperlukan sebagai satu cara mendapatkan interaksi sosial dan aktiviti riadah dalam jangkauan masa yang secara relatifnya ringkas dan menjimatkan masa.

• Prestij dan Imej: Kategori pertama konsep komuniti berpagar selalunya menonjolkan prestij untuk  mereka yang memang berkemampuan, supaya imej kemewahan lebih terserlah. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyebabkan konsep perumahan kos sederhana, konsep komuniti berpagar sekurang- kurangnya dapat meningkatkan prestij dan gaya hidup yang seolah-olah menepati imej atupun prestij seakan kategori pertama walaupun kemudahan yang terdapat amatlah minima.

• Aspek Keselamatan: Kesemua jenis konsep perumahan komuniti berpagar terutamanya yang berciri-ciri keselamatan terbukti menjadi pilihan utama pembeli yang meletakkan kawalan keselamatan sebagai kemudahan asas yang perlu disediakan. Oleh sebab itu kebanyakan konsep perumahan terutamanya perumahan rumah sesebuah berprestij, perumahan kos rendah dan menengah, dan perumahan berketumpatan rendah (landed property) hanya mengandungi pondok keselamatan dan berpagar tanpa disediakan kemudahan-kemudahan lain.

• Nilai ‘Privacy’: Terdapat permintaan terhadap kepentingan ini, yang mana setiap orang asing yang masuk dalam komuniti berpagar perlu mendapat kebenaran penghuni didalamnya. Selain dari faktor keselamatan, factor-faktor seperti kepentingan ‘privacy’ dan kerahasiaan menjadi tujuan utama pemilihan konsep komuniti berpagar.

• Lokasi Strategik: Sepertimana juga faktor permintaan pada hartanah-hartanah lainnya, faktor lokasi merupakan faktor utama menentukan sesuatu pembangunan dapat menarik pembeli. Lokasi yang strategic terutamanya dikawasan-kawasan yang mempunyai sistem jaringan jalan raya dan lebuh raya, kemudahan pusat komersial, pusat-pusat kemudahan awam, dan sebagainya merupakan faktor penting bagi pemilihan perumahan berkonsepkan komuniti berpagar.

• Daya Beli: Aspek ekonomi penduduk adalah faktor utama yang menyebabkan permintaan yang tinggi terhadap perumahan ini. Keadaan ini juga berlaku dikebanyakan negara – negara lain terutamanya negara membangun. Dengan keupayaan ekonomi yang kukuh, orang ramai mula mencari satu sistem pembangunan perumahan yang dapat memberi keselesaan yang semaksima mungkin kepada individu dan keluarga mereka sebagi timbal balik kepada keupayaan membeli tersebut.

• Suasana Persekitaran: Suasana Persekitaran samada menonjolkan ciri-ciri ‘Urban Living’ atau ‘Natural Scenery and Environment’ adalah juga aspek-aspek yang selalunya diambil kira bagi menentukan kekuatan permintaan untuk Konsep Komuniti Berpagar, terutamanya yang melibatkan komuniti prestij, komuniti rekreasi, dan percutian.

• Kemampuan Pemaju: Sektor pembangunan perumahan yang berkembang pesat dengan kelebihan sistem ‘Jual dan Bina’ secara terus memberi kelebihan kekuatan kewangan kepada kebanyakan pemaju. Faktor persaingan menjadi bertambah ketara berikutan percambahan pemaju-pemaju, terutamanya dengan kemudahan system kewangan tersebut. Elemen-elemen tambah-nilai pada konsep pembangunan seperti konsep komuniti berpagar, adalah salah satu cara promosi yang berkesan, selain kemampuan pemaju itu sendiri menyediakan pelbagai kemudahan asas dan tambahan untuk aktiviti riadah kepada masyarakat pembeli.

• Kawalan Undang-Undang: Dengan adanya Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) dan Kaedah-kaedah dan Perintah, kawalan undang-undang bagi menjalankan sistem pengurusan yang mengambil kira kepentingan penghuni dan pemilik hartanah berstatus Strata terutamanya yang berketumpatan tinggi (high density) lebih sistematik. Sementara konsep perumahan hak milik individu selalunya mengguna pakai Akta Hak Milik Strata 1985, secara konsepnya bagi pengurusan kemudahan-kemudahan perkongsian, sementara yang lainnya telah diubah suai untuk dijadikan hanya sebagai garis panduan yang dipersetujui bersama diantara komuniti tersebut.

• Kelompok Masyarakat: Walaupun penggalakan integrasi dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia selalu diketengahkan, secara nyata dan jelas penerapan ini masih kurang berkesan. Ini terbukti dengan kebanyakan pembeli komuniti berpagar masih mengambil kira komuniti sesuatu kaum dalam menentukan pemilihan bagi pemilikan setiap pembangunan perumahan tersebut. Oleh sebab itu disesetengah kawasan di Shah Alam dan Bangi, yang 97% penghuni komuniti berpagarnya adalah kaum Melayu, sudah tentu tidak diminati oleh kaum lain berbanding dengan sesetengah komuniti berpagar dikawasan Pusat Bandar Puchong yang 85% peratus penghuninya terdiri dari kaum Cina.

• Nilai Pulangan: Setelah semua faktor – faktor diatas diambil kira, sudah tentu nilai sesebuah pembangunan komuniti berpagar menjadi stabil dan meningkat. Untuk sesetengah pembeli yang bersifat pelaburan, faktor ini menjadi pilihan utama yang menyebabkan konsep perumahan ini semakin berkembang dan menjadi faktor penentu kepada kejayaan sesuatu konsep komuniti berpagar.

IMPLIKASI SOSIAL

Setiap aspirasi dan pendekatan yang dibuat oleh komuniti secara realitinya mempunyai peranan, sumbangan, ataupun kelebihan yang tersendiri bergantung kepada sejauhmana masyarakat menerima dan mentakrifkannya. Mungkin,masalah bagi sesetengah individu atau kelompok masyarakat itu, sebenarnya adalah perkara biasa ataupun kelebihan bagi kelompok lainnya, dan begitulah sebaliknya. Apa yang pasti, masalah-masalah terutamanya implikasi sosial akan terus berlaku. Aspek-aspek tersebut boleh dikenalpasti dan permasalahannya perlu di kurangkan ketahap yang paling minima sementara sumbangan kearah yang lebih positif perlu ditonjolkan bagi meningkatkan keharmonian dan keselesaan hidup. Terdapat beberapa aspek positif dalam konsep komuniti berpagar yang masih dalam penyediaan kajian. Secara ringkasnya adalah seperti berikut;
• Perpaduan kejiranan
• Tanggung jawab terhadap komuniti dan kemudahan
• Suasana yang lebih selamat.
• Laluan lalulintas terkawal
• Penggunaan masa yang lebih efisien, produktiviti meningkat
• Pengurangan kadar jenayah
• Pihak pengurusan dan keselamatan sebagai ‘mediator’
• Disiplin diri dan etika
• Keseragaman dan kesinambungan rekabentuk
• Persekitaran yang kondusif
• ‘Gate culture’ dikurangkan

Isu- Isu Permasalahan Sosial
Kajian di barat, secara jelas menunjukkan konsep komuniti berpagar telah menyebabkan peningkatan segmentasi dan pemisahan sosio ekonomi dikalangan penduduk. Beberapa kajian juga telah membuat kesimpulan yang jelas bahawa konsep komuniti berpagar telah menyebabkan pembahagian sosial yang jelas diantara masyarakat didalam komuniti berpagar dengan masyarakat sekelilingnya. Di Malaysia, gejala ini juga berlaku terutama pada konsep pembangunan kediaman bercampur yang tidak mengambil kira sensitiviti susunatur kediaman mengikut hirarki dan elemen transisi setiap zon kediaman tersebut. Elemen-elemen ekslusiviti yang begitu ketara sebagai penentu ketinggian nilaian hartanah konsep komuniti berpagar telah menyebabkan pembahagian sosial begitu ketara.Walaupun begitu, dalam konteks Malaysia, juga terdapat beberapa isu dan masalah sosial yang berlaku dengan percambahan konsep komuniti berpagar. Antara isu-isu masalah sosial tersebut ialah;

• Perbezaan status: Pembinaan pagar dan tembok dikawasan komuniti berpagar yang tinggi, terutamanya dengan rekabentuk bangunann yang mewah, dari satu segi mungkin berjaya meletakkan pembangunan perumahan komuniti berpagar ini mempunyai nilai komersialnya tersendiri. Imej dan prestij tinggi yang cuba dicapai bagi komuniti tersebut, jika disertai dengan kesombongan dan kurangnya interaktif sosial dengan masyarakat sekelilingnya, memberi kesan jurang perbezaan status yang tinggi di kalangan masyarakat.

• Penglibatan sivik: Tanggung jawab pengurusan bagi komuniti berpagar terutamanya yang melibatkan pihak ‘management coperation’ diletakkan sepenuhnya pada pihak pengurusan. Penghuni beranggapan dengan bayaran pengurusan setiap bulan, maka semuanya adalah menjadi tanggung jawab pengurusan. Berdasarkan maklumat kehadiran mesyuarat ataupun perjumpaan selalu dijalankan, purata kehadiran hanyalah diantara 40% hingga 65% sahaja.

 • Penggunaan Ruang-Ruang Riadah Awam: Kawasan rekreasi dalam komuniti berpagar terhad penggunaannya kepada komuniti yang berada didalamnya. Penggunaan ruang –ruang riadah awam kurang digunakan oleh pihak yang tinggal dalam komuniti berpagar. Integrasi sosial pihak komuniti berpagar amat kurang berbanding dengan komuniti lainnya dari segi penggunaan ruang –ruang riadah tersebut.

• Perbezaan kepercayaan, agama dan perilaku: Terdapat beberapa isu agama yang selalu diperbincangkan diantara komuniti, diantaranya ialah; garis panduan pakaian mandi dikolam renang yang selalu menjadi halangan bagi orang islam menggunakan kemudahan kolam renang dan juga larangan memelihara anjing bagi orang bukan islam didalam kawasan komuniti berpagar. Masalah sensitif yang melibatkan larangan pemeliharaan binatang ini juga berlaku pada unit-unit kediaman rumah teres pada konsep komuniti berpagar
Tolak ansur dan hormat menghormati diantara agama adalah faktor penting yang perlu diambil kira pelaksanaan sebarang garis panduan.

• Rasa Ketidakadilan: Komuniti berpagar yang berbilang kaum dan keperluan serta pantang larang yang berbeza sudah tentu amat sukar bagi memenuhi segala kehendak penghuni-penghuni di dalam komuniti tersebut. Pelaksanaan sistem komuniti berpagar secara ‘Ad-Hoc’, terutamanya banyak menimbulkan masalah rasa ketidak adilan, terutamanya membabitkan persetujuan semua pemilik kediaman, samada persetujuan konsep itu sendiri, pembayaran kawalan keselamatan, pembinaan pagar, laluan, pemeliharaan anjing, dan sebagainya. Oleh itu semangat tolak ansur yang tinggi dikalangan penghuni sekurang -kurangnya boleh menyelesaikan sebarang maslah yang timbul.

1 comment:

  1. boleh saya tnya.. komuniti berpagar ni ditranslate dripada sesebuah artikel atau berdasarkan pndgn tuan?? saja bertanya

    ReplyDelete